Nana Jaga Vokal dan Kesihatan Badan

Nana

Ibu tunggal kepada seorang anak lelaki ini berkata dia menjaga pengambilan pemakanan harian dan menitikberatkan penjagaan berat badan supaya tidak kelihatan terlalu besar atau kecil.

Kata Nana, berat badan ideal baginya 53 kilogram dan dia perlu menjaga pemakanan harian untuk mengekalkannya.

Populariti penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana, 32, melonjak mendadak selepas muncul juara program Gegar Vaganza 2, tahun lalu.

Nana kini tampil bergaya tidak berselindung tatkala ditanya mengenai tip kesihatan, kecantikan dan penjagaan vokal diamalkan.

Info terbaru Nana akan berlakon dalam drama Pengantin Musim Salju bergandingan bersama Alif Satar.

“Antara kaedah yang saya amalkan ialah tidak makan malam termasuk tidak mengambil minuman bersusu seperti teh atau Nescafe tarik.

“Meskipun ia minuman kesukaan saya, penggunaan susu dalam pembuatannya menyebabkan saya mengelak untuk minum,” katanya.

Selain itu, kata Nana, dia mengamalkan kaedah diet secara sihat diperkenalkan perunding kesihatan terkenal, Kevin Zahri.

Baginya, kaedah diketengahkan Kevin sangat mudah yang harus peka dengan pengambilan kalori dalam makanan harian.

“Sekarang dalam menjaga berat badan, saya pastikan dulu berapa jumlah kalori sudah diambil dalam sehari. Contohnya jika pengambilan sebanyak 1,800 kalori, saya perlu bersenam untuk membakar kalori itu kira-kira 1,100.

“Jadi, hanya jumlah kalori yang tinggal itu diperlukan badan. Apapun, konsep mengira kalori amat penting untuk difahami,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Memori Berkasih dan Paling Comel ini mencuba pelbagai kaedah diet sebelum ini tetapi hasilnya kurang berkesan hinggalah memahami konsep mengira jumlah kalori harian yang sesuai untuk badan.

Katanya, sebagai aktiviti senaman harian, dia akan melakukan zumba dalam tempoh sejam sehari dan ia dilakukan setiap hari pada waktu pagi.

“Hanya sebelah pagi saya ada kelapangan masa. Untuk tengah hari, petang dan malam pula saya terikat dengan pelbagai aktiviti seni yang padat.

“Saya tidak belajar zumba dengan menghadiri kelas tetapi cukup mempelajarinya melalui rakaman CD (cakera padat),” katanya.

Mengenai penampilan yang makin bergaya, Nana banyak mendapat khidmat nasihat daripada pereka fesyen.

“Alhamdulillah, kebanyakan pakaian yang saya gayakan pada acara persembahan mendapat tajaan daripada pereka fesyen. Secara tidak langsung, banyak juga ilmu mengenai fesyen sesuai untuk tampil bergaya dikongsikan.

“Saya suka bertanya dan kongsi ilmu. Justeru, rekaan pakaian sesuai buat saya semestinya tidak boleh terlalu moden,” katanya.

Untuk penjagaan vokal, Nana sentiasa berpegang pada pesanan guru vokalnya, penyanyi Ernie Zakri yang selalu mengingatkannya supaya menyanyi selama sejam setiap hari. Ia diyakini dapat memantapkan vokal.

“Saya juga akan pastikan dalam satu minggu mengikuti kelas vokal Ernie sebanyak dua kali. Sebagai penyanyi meskipun berstatus profesional, kelas vokal mesti rajin dihadiri,” katanya.

Nana juga melakukan senaman regangan untuk vokal selama setengah jam sebelum membuat persembahan. Dia yang kini tampil dengan single baru, Pesanan Teragung, berharap lagu itu menerima sambutan baik pendengar. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar