Informasi Drama Festival Kuala Lumpur 2017 #CeritaKita

Barisan penceramah DFKL

Drama Festival Kuala Lumpur 2017(DFKL 2017) kembali buat kali keempat dengan tema baharu iaitu ‘Cerita Kita’. Memperkenalkan tema yang berbeza untuk setiap tahun, DFKL 2017 akan mengangkat tema “#CeritaKita”. Tema ini lebih memberikan impak secara langsung kerana pengisiannya adalah refleksi kepada kehidupan seharian kita.

Mengulas mengenai tema yang dipilih tahun ini Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin menjelaskan, “Drama yang dipaparkan di kaca televisyen secara tidak langsung berkait rapat dengan kehidupan seharian penonton. Adakalanya kisah yang dipaparkan sama dengan realiti kehidupan penonton. Oleh itu DFKL mengambil inisiatif memilih tema ini di mana orang ramai berpeluang membentangkan idea dengan berkongsi memori, pengalaman dan kisah mereka sebagai sumber inspirasi untuk diterbitkan sebagai drama. Sehubungan itu DFKL 2017 menggalakkan lebih banyak penyertaan untuk pertandingan sesi kongsi di mana jalan cerita yang menarik berpeluang untuk diterbitkan sebagai drama dan dibukukan.”

Logo DFKL2017

Antara tajuk-tajuk drama yang pernah diterbitkan hasil daripada cetusan idea peserta pertandingan sesi kongsi ini ialah Romantika Bulan Madu, Hajat, Jalan Taubat, Talak dan Kereta Kita. Tajuk drama ‘Kereta Kita’ ini berjaya dinobatkan sebagai Drama Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2016.

Selain dari pertandingan sesi kongsi, DFKL mengekalkan pertandingan drama pendek peringkat awam, dan sekolah menengah. Tahun lalu merupakan kali pertama pertandingan drama pendek peringkat sekolah menengah dianjurkan. Jika tahun lalu hanya Sekolah Seni Malaysia yang menghantar penyertaan, tahun ini dijangkakan penyertaan lebih menyeluruh daripada sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Antara tarikan yang mendapat sambutan ramai ketika sesi jelajah dan festival DFKL diadakan ialah ujibakat lakonan. Ujibakat lakonan ini merupakan platform kepada sesiapa yang ingin menggapai impian sebagai anak seni. Menerusi DFKL 2016, seramai enam pemenang DFKL telah dilahirkan iaitu Muhammad Syazuwan, (Syazuwan Hassan) , Amirul Faqim bin Ahmad Zulkepre (Amirul Faqeem), Muhammad Nafiz Muaz (Nafiz Muaz) , Hani Shuhanti (Shuhanty), Siti Hajar Iliyes (Jaja Iliyes), dan Nur Indah Emeerlda (Indah Emeerlda).

Sejak dipilih sebagai pemenang, mereka telah mula berlakon dalam beberapa drama di bawah arahan pengarah atau penerbit berpengalaman. Antara drama yang melibatkan mereka adalah Ketupat Palas Mr. Handsome dan Mr. Donat Karamel (Syazuwan Hassan), Love You, Mr. Arang, Suamiku Paling Sweet, Mariam Alisa, Bagaikan Kelip-Kelip, Baju Berkancing Peniti (Amirul Faqeem), Sweetie Nanie, Amsyar (Nafiz Muaz), Nahu Rindu (Shuhanty), Meh! Sandar Pada Aku, 7 Hari Mencintaiku (Jaja Iliyes), Sweetie Nanie, dan Jalan Balik Surau (Indah Emerrlda).

Selain daripada enam pemenang tersebut, pelakon utama drama Akasia, Sayangku Kapten Mukhriz iaitu Raja Afiq juga merupakan salah seorang bakat yang dicungkil menerusi DFKL siri pertama pada tahun 2014. Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Raja Afiq membuatkan ramai pengarah dan penerbit mengambilnya untuk berlakon dalam drama-drama mereka. Sikap positif yang ditunjukkan ini, membuatkan beliau dipilih sebagai duta DFKL 2017.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, DFKL sekali lagi menggabungkan penggiat seni yang berkaliber untuk berkongsi pengalaman di bengkel DFKL yang akan dianjurkan di Putra World Trade Centre (PWTC) pada 1 & 2 April 2017. Antara barisan panel yang akan terlibat ialah Azman Hj Yahya (Jinggo), Michael Ang, Ogy Ahmad Daud, Nabila Huda, Fasha Sandha, Sabri Yunus dan ramai lagi. Lebih menarik lagi, terdapat satu bengkel yang baharu bakal diadakan iaitu bengkel media sosial yang akan menampilkan Mat Luthfi, Anwar Hadi & Takahara Suiko.

MAKLUMAT MENGENAI DFKL 2017


Pertandingan Sesi Kongsi (Pembentangan Idea)

DFKL 2017 akan memberi peluang kepada sesiapa yang mempunyai idea dan mahu idea mereka direalisasikan. Untuk menyertai pertandingan ini, para peserta boleh menghantar jalan cerita kisah sebenar mereka yang berkaitan dengan Pengalam Hidup, Konflik Keluarga, Bibit-Bibit Cinta, Kehilangan Cinta, Kisah Silam, Kenangan Manis, Kenangan Pahit, Pengalaman Lucu, Kisah Seram ke laman sesawang DFKL, www.dfkl.com.my. Jika idea peserta berjaya menarik perhatian dan memikat hati pihak produksi, peserta tersebut akan turut menerima wang tunai RM500 dan idea anda akan turut diterbitkan menjadi telefilem dan dibukukan.

Pencarian Bakat Baharu DFKL 2017

Selain bengkel dan siri jelajah, pencarian bakat baharu juga akan diadakan ketika sesi jelajah DFKL dan sepanjang dua hari festival DFKL 2017 ini berlangsung. Fokus utama pencarian bakat baharu pada tahun ini adalah untuk mencari pelakon-pelakon baharu sebagai pelapis yang mampu mewarnai industri lakonan. Melalui ujibakat ini juga, para peserta boleh menggunakan platform ini untuk mengetahui bagaimana cara dan medium yang betul untuk menonjolkan bakat mereka. Jika mereka berjaya, mereka akan berpeluang unutk muncul dalam drama-drama terbitan TV3 dan TV9.

Pertandingan Drama Pendek

Orang ramai boleh menghantar penyertaan drama pendek hasil kreativiti mereka ke laman sesawang www.dfkl.com.my bermula 1 Disember ini hingga 15 Februari 2017. Drama pendek berdurasi 3- 5 minit ini perlu mematuhi tema yang ditetapkan iaitu ‘Saya Anak Malaysia’.

Hadiah yang bakal dimiliki para peserta seperti berikut:

  • Tempat Pertama: RM10,000
  • Tempat Kedua: RM 5,000
  • Tempat Ketiga: RM3,000

Bengkel DFKL 2017

Bengkel DFKL 2017 kali ini akan diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC) pada 1 & 2 April 2017. Peserta-peserta bengkel amat bertuah kerana berpeluang untuk mempelajari perjalanan karyawan yang berpengalaman. Mereka akan memberi inspirasi dan motivasi kepada para peserta untuk lebih mengenali tentang mereka selama berada di dalam industri seni. Orang ramai boleh melayari www.dfkl.com.my untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk membeli pas penyertaan.

Siri Jelajah DFKL 2017

Demi merancakkan lagi DFKL 2017, Siri Jelajah DFKL 2017 akan diadakan dimana ia akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui program-program yang direncanakan dalam festival ini. Pengunjung juga boleh membuat pendaftaran awal untuk menyertai bengkel-bengkel DFKL 2017. Berlainan dengan tahun lepas, Siri Jelajah DFKL 2017 akan berada di tiga lokasi yang berbeza mulai Februari 2017.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar