Nora Dapat Tukar Lagu Lain?

Gegar Vaganza 3 Nora

Dalam program berkenaan Ahad lalu, Nora, 43, diberikan lagu dangdut nyanyian Amelina berjudul Rindu tetapi dikatakan menukarnya dengan lagu Bring Me To Life nyanyian Evanescence.

Penyanyi bersuara lunak, Nora Ariffin menafikan dia tidak berani menyahut cabaran tema rock dan dangdut dalam persembahan minggu keenam program Gegar Vaganza ketiga (GV3), Ahad ini apabila dikatakan menukar lagu tugasan yang diberikan kepada lagu lain.

Mengulas perkara ini, Nora berkata, ia disebabkan berlaku kesilapan teknikal daripada pihak produksi sehingga membuatkan banyak pihak terkeliru.

"Sebenarnya tidak ada isu berkenaan perkara ini. Dari awal lagi, kami sudah berbincang dengan produksi berkenaan lagu yang dipilih untuk dinyanyikan dan lagu Bring Me To Life memang ada dalam senarai ini.

"Bagaimanapun apabila pengumuman mengatakan minggu keenam akan tampil dengan konsep rock dan dangdut, saya akur dan terbuka untuk sahut cabaran dan akan menyanyikan apa saja lagu yang diberikan.

“Jadi, apabila muncul montaj lagu Rindu milik saya, ia bukanlah masalah besar dan saya bersedia menyanyikannya, tetapi rupa-rupanya ada kesilapan teknikal dan saya sepatutnya kena menyanyikan lagu Evanescence. Jadi, tidak timbul soal saya tidak berani menyanyikan lagu dangdut," katanya.

Menurutnya lagi, dibandingkan dengan Rindu, lagu Bring Me To Life lebih mencabar kekuatan vokalnya dan memerlukan lebih tenaga.

"Lagu ini lebih rock daripada peserta lain tetapi saya akur dengan kehendak Astro. Saya akui agak terkejut apabila lagu Rindu diumumkan milik saya. Sebaik program berakhir saya minta kepastian daripada Astro dan mereka mengakui kesilapan yang berlaku.

"Saya bukanlah tidak sukakan genre dangdut tetapi memandangkan lagu Bring Me To Life ada dalam senarai pilihan, saya sudah sediakan pakaian yang sesuai untuk lagu ini," terangnya.

Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema ini berkata, dia memahami konsep pertandingan GV3 dan tidak pernah bersikap keterlaluan serta menyusahkan mana-mana pihak.

"Kita tahu pertandingan ini konsepnya sama rata. Saya juga amat menghormati semua peserta lain walaupun ada di antara mereka berstatus junior. Saya tidak pernah minta diberikan kelebihan dan memang berkehendakkan persaingan secara sihat diantara semua peserta," katanya. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar