Reunion Bintang RTM 2001 di GV3

Separuh Akhir Gegar Vaganza 3

Artis terbabit adalah dua peserta GV3 iaitu Azharina Azhar dan Sarah Raisuddin serta Misha Omar yang akan menjadi pasangan duet Sarah pada konsert GV3, Ahad ini. Pada Pertandingan Bintang RTM 2001, Azharina muncul juara.

Mungkin ramai tidak tahu, pentas separuh akhir musim ketiga Gegar Vaganza (GV3), Ahad ini boleh dianggap 'reunion kecil' bagi tiga penyanyi yang mencipta nama ketika bersaing pada Pertandingan Bintang RTM 2001.

Ketika itu, Sarah dan Misha memberi saingan sengit hingga bertebaran kisah kononnya mereka berseteru. Namun, semua itu kisah lama yang sudah dilupakan. Malah, baik Azharina, Sarah dan Misha, masing-masing mencipta kejayaan sendiri dengan menghasilkan album serta memahat nama sebagai antara penyanyi wanita yang memiliki vokal terbaik.

Bercerita mengenai pengalaman bersaing pada Pertandingan Bintang RTM 2001 dan keseronokan bertemu rakan lama, Sarah teruja berkongsi pentas dengan Misha, Ahad ini.

Kenangan Dulu

"Apa yang berlalu, biarlah berlalu. Tak perlu dikenang lagi. Masing masing masih muda ketika itu... Darah masih panas. "Saya masih ingat, pada suatu tahap, saya dan Misha dilaga-lagakan pihak yang kurang senang dengan kehadiran kami," katanya kepada BH Online.

Ahad ini, Sarah dan Misha akan mendendangkan lagu Bunga-Bunga Cinta secara duet. Bagi segmen solo, Sarah akan mendendangkan lagu Pohon Asmara yang dipopularkan Jaclyn Victor. Sarah menganggap pengalaman bersaing di pentas Bintang RTM 2001 sebagai pengalaman berharga yang mematangkan diri.

"Sekarang, saya dan Misha masing masing sudah bersuami dan mempunyai anak. Pantas benar masa berlalu," katanya. Malah, akui Sarah, kadang kala dia tidak percaya apa yang berlaku dengan masing-masing terus bertahan dengan karier dan keluarga.

"Dulu kami anak dara dan bersaing menunjukkan kemampuan diri. Selepas 15 tahun, status kami sudah berubah. "Namun, perjuangan seni masih diteruskan. Adanya anak itu ibarat isyarat kami semakin tua," katanya berseloroh.

Pada minggu ketujuh GV3, Sarah akan berentap dengan Ameng (Spring), Gmie (Screen), Nora, Intan Sarafina, Azharina dan Zarul. - BHarian

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar