Teater La Galigo kisah Kesultanan Selangor di Stadium Malawati Shah Alam

La Galigo

Teater terbitan Keno Production itu memaparkan sejarah Kesultanan Selangor yang pertama dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap, Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

Impian pelakon berbakat Ainul Aishah untuk beraksi di pentas teater akhirnya tercapai menerusi pementasan Teater La Galigo yang bakal dipentaskan di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 hingga 18 Disember ini.

Pementasan arahan Ketua Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya Dr Rosdeen Suboh ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Amar Asyraf sebagai Raja Lumu, Tasha Shilla (Tengku Puteri), Datuk Ahmad Tamimi Siregar (Pasureq), Raja Azura (Mak Teja), Hafizd Roshdi (Daeng Loklok), Wan Raja (Mayong), Harun Hashim, Zack Kool, Zarina Raja Lawak dan Aliff AF.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Ainul Aishah Azizun ini mengakui dia menganggap tawaran berlakon dalam teater itu sebagai platform terbaik buatnya untuk mengembangkan bakat ke pentas teater.

“Selain tertarik dengan naskhah teater ini, saya juga ingin mencabar diri beraksi di pentas teater berskala besar buat julung kalinya.

“Pada masa sama, teater juga memberi kepuasan berbeza berbanding drama dan filem kerana ia membabitkan lontaran vokal serta dilakukan secara langsung di hadapan penonton,” katanya.

Berkongsi mengenai wataknya pula, kata Ainul, dia ditawarkan watak Awan yang tidak kurang menariknya dalam pementasan itu.

“Awan ialah srikandi di bawah jagaan Mak Teja. Dia juga pendamping kepada Puteri Perak dan menjadikan puteri itu sebagai idolanya. Awan seorang periang dan dia juga jatuh hati terhadap Mayong yang juga panglima tetapi cintanya tidak kesampaian,” katanya.

Apa yang mencabar, kata Ainul, dia perlu bersilat dan menyanyi untuk menjiwai watak Awan dalam teater itu.

“Saya terima tawaran berlakon dalam teater ini kerana perlu menyanyi yang juga salah satu cabang seni diminati sejak dulu. Lebih menarik, saya akan berduet satu lagu bersama Wan Raja dan lagu runut bunyi teater pula bersama Tasha. Saya juga berharap persembahan nyanyian dalam teater ini akan mengubat kerinduan peminat yang sudah lama ingin menyaksikan saya menyanyi di pentas,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Dr Rosdeen pula, kata Ainul, dia juga selesa bekerjasama dengan pengarah berpengalaman itu.

“Dia pengarah yang penuh seni dan ‘cool’ serta mudah dibawa berbincang. Kami juga giat berlatih membabitkan pencak silat, latihan vokal selain babak dalam lakonan sehingga menjelang hari pementasan nanti.

“Saya juga tiada masalah bergandingan dengan Tasha serta semua pelakon terbabit dalam teater ini. Apa yang penting semua pelakon sangat komited untuk merealisasikan teater ini,” katanya.

Selain fokus dengan sesi latihan Teater La Galigo, Ainul juga sibuk menghabiskan baki penggambaran drama bersiri Lara Aishah sehingga Disember nanti.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar