Zarul rebah 2 jam sebelum konsert


Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin, 43, memberitahu dia terpaksa dikejarkan ke hospital kira-kira jam 6.45 petang semalam apabila perutnya tiba-tiba sakit.

Melunaskan tanggung jawab mendendangkan lagu Fantasi Musim Cinta hingga layak mara ke pentas separuh akhir musim ketiga Gegar Vaganza (GV), penyanyi Zarul rupa-rupanya berdepan insiden cemas apabila tiba-tiba rebah, dua jam sebelum konsert malam tadi.

"Saya rasa sakit pada bahagian perut ketika berlatih. Malah, saya seperti kurang sedar dengan kejadian itu dan dibawa ke hospital. "Doktor tidak dapat mengesahkan punca sebenar kesakitan itu. Saya meminta izin untuk kembali ke GV dan diberikan ubat tahan sakit.

"Kekuatan saya pada ketika ini adalah penyokong. Saya tidak sampai hati untuk mengecewakan mereka dengan menarik diri. Biarpun menahan sakit, namun saya mencari kekuatan dengan semangat peminat," katanya kepada BH Online.

Teruskan Persembahan

Vokalis kumpulan Umbrella itu meneruskan perjuangan dengan mempersembahkan lagu Fantasi Musim Cinta yang dipopularkan penyanyi, Iwan biarpun kesihatannya kurang mengizinkan. Pada pentas separuh akhir, Ahad ini, Zarul bakal menyanyikan dua lagu iaitu duet bersama Marsha serta sebuah lagu solo yang dipopularkan Aizat Amdan.

Selain Zarul, penyanyi lain yang turut bertanding pada peringkat separuh akhir adalah Ameng (Spring), Gmie (Screen), Nora, Intan Sarafina, Azharina dan Siti Sarah.

Malam tadi, penyanyi berpengalaman, Zur Eda menghentikan perjuangan apabila menerima markah rendah. Gmie pula berjaya diselamatkan menerusi imuniti yang diberikan penaja platinum, Datuk Seri Vida. - BHarian

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar